Beliau berkata buat masa ini pihak polis masih menjalankan siasatan dan meminta orang ramai supaga tidak buat andaian sendiri berhubung kes itu.
“Kita siasat dulu. Kereta itu bukan dia (Safee) yang bawa, tetapi orang lain yang guna. Jadi orang itu sudah ditangkap, biar polis siasat dulu.
“Usah kita terus buat andaian pemain bola sepak yang punya pistol. Biar kita jalankan siasatan terperinci.
“Sesiapa saja yang bertanggungjawab terhadap senjata api itu akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Balai Polis Bukit Aman.
Semalam, BH Online melaporkan sepucuk pistol bersama 30 butir peluru ditemui di dalam kereta Safee.
Ketika kejadian, kenderaan Safee yang dipandu seorang pemilik kedai aksesori kenderaan pacuan empat roda ditahan polis trafik ketika melalui sekatan jalan raya di susur keluar Kempas, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira jam 12 tengah hari Ahad.
Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol disimpan dalam sebuah beg kuning di tempat duduk belakang Ford Ranger itu.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan suspek lelaki berusia 34 tahun dalam kes itu tiada kaitan dengan Safee.