KBS Berjanji Tambah Baik Persiapan Olimpik 2028

PUTRAJAYA: Jangkaan yang Malaysia bakal disertai jumlah kontinjen kecil ke Sukan Olimpik Paris 2024 tidak disangkal Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh terutamanya selepas skuad hoki lelaki negara gagal mendapatkan tiket kelayakan ke temasya berkenaan pada Januari lalu.

Selain hoki, turut terlepas peluang ke Paris 2024 adalah ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng manakala sukan lain seperti berbasikal, angkat berat, renang, golf dan olahraga masih dalam proses kelayakan.

Buat masa ini, hanya lima atlet sudah mengesahkan tempat di Paris 2024 iaitu atlet terjun, Bertrand Rhodict Lises; Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran); Johnathan Wong (menembak); Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuhraya).

“Saya percaya atlet kita sudah melakukan yang terbaik dan kalau ada yang tak layak, mereka kena menerimanya. Kita akan buat penambahbaikan dan itu sebab Road To Gold sudah mengenalpasti LA2028 (Los Angeles 2028). Kita juga sudah meletakkan atlet yang kita rasa ada peluang ke LA2028 ke dalam program Fast Track pada ketika ini.

“Masih ada yang dalam proses kelayakan dan harap yang masih dalam proses itu berjaya. Apabila hoki tak layak, kita tahu yang kontinjen akan menjadi kecil,” kata Hannah kepada media dalam Majlis sidang media kerjasama antara KBS dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), hari ini.

Sebelum ini, Ketua Kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan sekurang-kurangnya 20 atlet negara akan melayakkan diri ke Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Hamidin dilaporkan berkata, jumlah atlet itu boleh dicapai dengan beberapa jenis sukan seperti renang, angkat berat, badminton, golf, gimnastik artistik, memanah, olahraga, ping pong dan taekwando masih dalam proses kelayakan.

Untuk rekod, Malaysia dibarisi 30 atlet di Olimpik Tokyo 2020, 32 di Rio (2016), 29 di London (2012), 32 di Beijing (2008), 26 di Athens (2004), 40 di Sydney (2000), 35 di Atlanta (1996) dan 26 di Barcelona (1992).

Penyertaan kontinjen Malaysia paling sedikit adalah pada 1988 di Olimpik Seoul dengan hanya sembilan atlet bertanding manakala paling ramai adalah di Olimpik Tokyo 1964 dengan 62 atlet.

Dalam pada itu, Hannah turut memaklumnya yang dirinya bersama KBS mahu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan bakat selepas ini.

“Saya mahu fokus kepada pembangunan bakat selepas ini. Kita perlu mempunyai barisan pelapis yang ramai. Kita tak boleh bergantung kepada atlet senior sahaja dan akan tiba masanya mereka perlu bersara,” kata Hannah. -Berita Harian

Related Articles