‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

KUALA LUMPUR: Kongres Tahunan buat kali Ke-60 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung esok kemungkinan besar akan berlangsung dalam situasi panas.

Hal ini kerana beberapa media menerima emel daripada pengirim yang tidak dikenali membangkitkan isu berkaitan kepimpinan dan pengurusan FAM.

Perkara itu sudah pastinya akan menimbulkan persoalan dalam kalangan media yang akan membangkitkannya di kongres itu.

Malah, isu atau hal dalaman membabitkan FAM semakin panas sejak kebelakangan ini termasuklah membabitkan beberapa staf badan induk bola sepak itu meletak jawatan atas sebab tertentu.

Terdahulu, arena bola sepak negara melaporkan bahawa barisan kejurulatihan yang diterajui Kim Pan Gon sudah bersedia meninggalkan kem pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi pada masa akan datang.

Perkhabaran terbabit bertiup kencang susulan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya itu sudah menghantar surat kepada FAM yang ditunjukkan kepada wartawan.

Situasi timbul berkemungkinan berpunca selepas pasukan kebangsaan tewas kepada Oman dalam kempen kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Namun, Pan Gon tampil menyatakan pendirian untuk terus kekal bersama skuad kebangsaan sehingga misi utama membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah slot Piala Asia 2027 tercapai.

Pan Gon menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa beliau juga tidak menghantar surat yang mengatakan sedia untuk meninggalkan pasukan negara sekiranya khidmatnya sudah tidak diperlukan. -Berita Harian

Related Articles