Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

PETALING JAYA: Umno Sabah mungkin hanya menjalinkan kerjasama dengan Warisan selepas PRN, kata Ketua Penerangannya Suhaimi Nasir walaupun mengakui rundingan bersama parti pimpinan bekas ketua menteri Shafie Apdal itu berjalan lancar.

Suhaimi berkata pendirian itu mungkin diambil kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti berlaku pada PRN 2020 menyaksikan banyak perjanjian dimeterai ketika itu, didakwa tidak ditunaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata perbincangan dengan Warisan setakat ini berjalan lancar yang secara dasarnya bersetuju dengan syarat seperti berkaitan jawatan akar umbi.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula sehingga kini belum memberi sebarang maklum balas.

“Kita tidak berjanji dan gabung sebelum PRN, tengok berapa kerusi masing-masing dapat baru kita bentuk kerajaan (selepas pilihan raya),” katanya kepada FMT mengulas perkembangan rundingan Umno dengan parti tempatan menjelang PRN Sabah yang dijangka diawalkan tahun ini walaupun penggal DUN hanya akan tamat Oktober 2025.

Pada PRN 2020, Umno bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Gabungan itu menewaskan Warisan dan Pakatan Harapan dengan Hajiji Noor dilantik sebagai ketua menteri Sabah.

Pada Jan tahun lalu, Umno menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji menyaksikan Ketuanya Bung Moktar Radin turut digugurkan sebagai timbalan ketua menteri.

Suhaimi mendakwa antara janji gagal ditunaikan Hajiji adalah bagi jawatan di peringkat akar umbi seperti ketua kampung apabila lebih ramai ahli GRS dipilih berbanding Umno.

“Ikut perjanjian 60 Umno dan 40 GRS tetapi bila sudah jadi kerajaan sebaliknya pula berlaku.”

Dakwanya lagi, peruntukan kepada kementerian diterajui wakil Umno ketika itu seperti kerja raya (Bung Moktar) yang sepatutnya berjumlah RM700 juta dikurangkan kepada RM300 juta atas pertimbangan politik.

“Sedangkan peruntukan itu mahu digunakan untuk menyediakan keperluan asas untuk rakyat seperti air, elektrik dan jalan raya.

“Jafry Ariffin (bekas menteri pelancongan, kebudayaan dan kesenian Sabah) minta tambah peruntukan untuk tingkat aktiviti pelancongan selepas PKP dan dipersetujui tetapi bila bentang belanjawan tak dipenuhi,” katanya.

Sehubungan itu, kata Suhaimi, Umno Sabah lebih berhati-hati dalam menentukan kerjasama dan mahu memfokuskan meningkatkan kekuatan sendiri untuk bergerak solo pada PRN.

“Sebab kalau kuat baru semua parti akan datang kepada kita,” katanya. -Free Malaysia Today

Related Articles