Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap

KUANTAN: Polis percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kes dalam membaling ‘molotov cocktail’ terhadap cawangan KK Mart dekat Sungai Isap di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata maklumat itu hasil daripada beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diteliti setakat ini.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu, usaha mengesan suspek terbabit sedang dilakukan.

“Kita juga akan melihat CCTV lain di lokasi kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu,” katanya di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata demikian ditemui media pada Kempen Pencegahan Jenayah di Bazar Aidilfitri Dataran Sekilau di sini, malam tadi.

Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pihaknya sudah merakamkan keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Katanya, empat individu itu, termasuk pengadu dan saksi dalam kejadian terbabit.

“Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga diarahkan meningkatkan rondaan di cawangan KK Mart di seluruh negeri ini,” kata Yahaya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah lagi kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di daerah ini, dilontar dengan ‘molotov cocktail’

Lontaran itu menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.

Berikutan kejadian itu, empat rak jualan dalam premis termasuk beberapa barang jualan mengalami sedikit kerosakan akibat terkena percikan api.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dan kejadian itu menyebabkan kedai serbaneka berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM500 akibat perbuatan khianat itu. -Berita Harian

Related Articles