Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi bayangan Datuk Hans Isaac akan kekal selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sehingga kontraknya tamat pada Jun tahun depan di sebalik desakan mahukan beliau meletak jawatan.

Hannah berkata setiap keputusan berkaitan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang sering menerima kritikan diputuskan secara bersama oleh Lembaga Pengarah PSM.

Hans Isaac dilantik sebagai Pengerusi PSM bagi sesi 2023-25 bermula pada Jun tahun lalu.

“Hans Isaac dilantik bagi tempoh dua tahun dan saya percaya dalam PSM sekarang segala keputusan dibuat bersama Lembaga Pengarah.

“Lembaga Pengarah sudah mengambil keputusan untuk rumput selepas konsert Coldplay, bagi kepada pakar untuk masuk dan lakukan tugas, itu adalah keputusan Lembaga Pengarah. Jadi, kita kena tunggulah,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung desakan pelbagai pihak yang mahukan Hans Isaac meletak jawatan susulan kerosakan padang yang sering berlaku di Stadium Nasional sehingga menjejaskan perlawanan membabitkan Harimau Malaya.

Menurut Hannah, selepas konsert Coldplay pada November tahun lalu, PSM mendapatkan khidmat pakar rumput dari Australia bagi melakukan segala perancangan untuk penjagaan rumput di stadium itu.

“Sebab itu, selepas perlawanan malam ini (Malaysia menentang Oman pusingan kelayakan Piala Dunia) kita nilai dulu.

“Saya juga akan bermesyuarat untuk mendengar dan dapatkan maklum balas daripada pakar rumput kerana saya mahu pastikan terus ada penambahbaikan.

“Seperti yang saya jelaskan di Parlimen, kita tiada pilihan di mana saya ada dua stadium. Disebabkan saya tiada dua pilihan itu, kita kena pastikan kita jaga rumah untuk Harimau Malaya dan pada masa yang sama kita juga kena bagi ruang untuk konsert.

“Hasil daripada konsert semua masuk ke akaun perbadanan stadium dan dalam tabung berkenaan kita belanja untuk naik taraf stadium,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah mengesahkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi tamat minggu lalu dan beliau mempelawa calon yang berkelayakan untuk menghantar permohonan bagi mengisi kekosangan jawatan itu.

Pada masa sama beliau turut memaklumkan Iliyas Jamil dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi PSM. –Berita Harian

Related Articles