Peguam Dan Mangsa Kes Buli Di Sekolah ‘Raya Awal’

PETALING JAYA: Peguam bagi satu kes buli di sekolah mengibaratkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada mangsa sebagai “raya awal”.

Wan Azlina Wan Adnan berharap ketetapan mahkamah tertinggi itu akan membuka mata masyarakat kepada masalah buli.

“Bila baca penghakiman itu kita ibarat dah raya awal,” katanya, mengulas penghakiman 20 muka surat oleh Hakim Mary Lim yang diterbitkan minggu lalu.

Lim yang akan bersara bulan depan berkata dalam apa jua persekitaran adalah untuk pembelajaran, melatih mereka memikul tanggungjawab dan membuat pilihan hidup.

Mahkamah Persekutuan pada Oktober 2023 mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, yang memberikan ganti rugi kira-kira RM600,000 kepada seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud yang cacat pendengaran kekal akibat dibuli oleh lima pelajar atasan.

Ia mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2021, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 itu.

“Harap benda ini akan membuka mata sebab sekarang banyak kes buli,” kata Wan Azlina.

Seorang bekas pelajar yang kini berusia 22 tahun, menyaman lima bekas pelajar Tingkatan 5 yang kini berusia 26 tahun, kerana berulang kali menendang dan menamparnya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berada di Tingkatan 2 pecah gegendang telinga dan tidak boleh lagi melakukan aktiviti air.

Mangsa juga mengalami kemurungan akibat buli dan akhirnya berpindah ke sekolah lain pada Julai 2015.

Defendan lain yang dinamakan dalam saman itu ialah penolong kanan hal ehwal pelajar, bekas pengetua sekolah, ketua pengarah pendidikan, dan kerajaan.

Mahkamah Tinggi memerintahkan sembilan defendan membayar RM616,634.20 kepada plaintif. Hakim ketika itu mendapati pihak sekolah cuai dalam membenarkan buli berlaku di asrama pengawas.

Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menulis terdapat bukti yang mencukupi untuk membuktikan lima defendan yang dinamakan dalam saman itu menyerang dan memukul perayu. Hakim juga menganugerahkan kos RM150,000 lagi kepada perayu.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana semua bukti telah ditunjukkan,” kata ibu mangsa kepada FMT.

Beliau bersyukur keadilan ditegakkan selepas berjuang selama bertahun-tahun.

Dia turut memuji pasukan peguam daripada WA Wan Adnan & Associates yang mewakilinya sebagai “terbaik”.

“Tanpa mereka saya tak tahu apa tindakan yang perlu dibuat,” katanya. –Free Malaysia Today

Related Articles