Kerajaan Adakan Mesyuarat Tergempar Bincang Isu Polemik Perkauman, Agama

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat tergempar akan didakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan insiden polemik perkauman serta agama yang sedang melanda negara ketika ini.

Menurut kenyataan bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, mesyuarat tersebut akan dilaksnakan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) yang diurusetiakan Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, mesyuarat itu juga bagi membolehkan langkah segera diambil dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.

“Datuk Aaron Ago Dagang dan Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengutuk sekeras-kerasnya semua insiden polemik perkauman dan agama yang menganggu gugat keharmonian rakyat.

“Sejak beberapa minggu ini, negara terus menerus dilanda pelbagai insiden berhubung sensitiviti agama dan perkauman, termasuk kes di KK Mart, Kuching baru-baru ini yang disebabkan individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri berkenaan turut memberikan amaran tegas kepada semua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang melampau, sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

“Kedua-dua menteri juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Pada masa sama, mereka turut menggesa agar semua pemimpin parti politik berhenti memanjangkan isu KK Mart kerana kenyataan yang berterusan dan melulu akan menyebabkan situasi lebih keruh.

Tambahnya, masyarakat perlu sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai hidup yang menjadi tanggungjawab setiap rakyat, bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan serta keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi dan permusuhan.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Susulan isu itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita.

Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu berkenaan berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Kes itu semakin hangat apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh melancarkan kempen memboikot KK Mart besar-besaran dengan menggesa umat Islam supaya mengambil tindakan berkenaan.

Kontroversi itu turut menyaksikan KK Mart di Bidor dibaling bom petrol, namun serangan tidak mengakibatkan kebakaran di premis berkenaan.

Isu tersebut berlarutan hingga pada 30 Mac lepas, premis KK Mart di Sungai Isap, Kuantan turut diserang dengan bom petrolsehingga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di pintu masuk kedai serbaneka terbabit. – MalaysiaGazette

Related Articles