Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, calon yang mahu mengisi jawatan tersebut perlulah terdiri daripada mereka yang memahami dan terlibat secara langsung dalam sukan bola sepak di negara ini.
Menurutnya, jika orang yang tidak terlibat dalam aktiviti bola sepak tempatan menerajui jawatan itu dikhuatiri mereka tidak akan memahami dan gagal menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi.
“Bila ada kekosongan senang sahaja, kita balik kepada peraturan. Tak payah meraba-raba cari orang itu, orang ini dan semua perkara tersebut telah dicatatkan dalam peraturan.
“Ahli gabungan perlu mengemukakan cadangan dalam kalangan mereka yang sedang terlibat dengan bola sepak sahaja termasuklah jurulatih atau pengadil.
“Peraturan itu dibuat kerana mahu melihat badan itu dipimpin oleh seseorang yang telah dan sentiasa aktif dalam konteks bola sepak negara sekali gus memudahkan perlaksanaan tugas,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu pada Ahad.
Akhbar sebelum ini melaporkan, kesediaan dua tokoh korporat itu untuk menerajui barisan kepemimpinan badan induk tersebut.
Kesediaan Idris dan Fernandes menerajui FAM membuktikan masih ada yang sayang dan mahu membantu bola sepak negara.
Pemilihan FAM bakal diadakan dalam kongres ke-53 yang dijadual awal tahun depan selepas Jawatankuasa Eksekutif memutuskan tarikh kongres pada Oktober ini.
Calon presiden perlu menerima sekurang-kurangnya satu pencalonan daripada ahli gabungan FAM dan mestilah warganegara Malaysia.
Annuar memberitahu, pemilihan tersebut merupakan perkara penting dan ahli gabungan perlu mengambil peluang untuk membawa tranformasi seperti yang terkandung dalam ucapan Tengku Abdullah sebelum ini.
Katanya, dalam ucapan tersebut Tengku Abdullah ada menyebutkan FAM perlu melakukan tranformasi sebagimana dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
“Pada saya ucapan Tengku Abdullah cukup indah, baginda sanggup berundur dan telah memberikan indikator kepada kita semua.
“Kalau kita masih buat macam biasa, maka tidak ada perkara yang akan berubah. Bagi saya pemilihan kongres kali ini merupakan medan terbaik untuk melakukan perubahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Annuar berkata keputusan Tengku Abdullah untuk berundur merupakan satu kehilangan yang cukup besar kepada badan induk tersebut dan sukan bola sepak di negara ini.
“Kita patut menjunjung kasih kepada baginda kerana berjiwa besar dalam memajukan sukan ini,” katanya. – Utusan Malaysia