TMJ ke Madrid cari jurulatih baru Harimau Malaysia

Melalui posting di laman Facebook Johor Southern Tiger, Tunku Ismail berkata, beliau bukan sahaja akan mencari jurulatih untuk skuad kebangsaan, tetapi juga dari peringkat belia dan pasukan utama negara di mana jurulatih baru ini akan terapkan polisi, disiplin dan falsafah buat pasukan kebangsaan.

“Saya di sini bukan sahaja datang kerana dijemput untuk memberi ucapan dalam persidangan ‘World Football Summit’, juga bukan sekadar untuk berjumpa dengan rakan-rakan saya di kelab Barcelona, Valencia dan juga di Madrid tetapi untuk mencari jurulatih baru pasukan kebangsaan .

“Saya sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan tetapi saya tidak boleh lakukan apa-apa sebelum ini oleh kerana pengurusan FAM yang sedia ada sekarang ini,” katanya, merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Tunku Ismail berkata, sebaik sahaja pengurusan baharu menerajui FAM tahun hadapan, tiga objektif utama akan dilaksanakan.

“Apabila pengurusan baru mengambil alih FAM tahun hadapan, tiga objektif utama yang akan terus dilaksanakan iaitu yang pertama perlantikan jurulatih baru daripada sepanyol, keduanya adalah duit hak penyiaran untuk semua pasukan dan yang ketiga memperbaiki Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya.

TMJ pada Ogos menolak cadangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya mengambil alih kepimpinan FAM bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau bagaimanapun masih belum membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Pengerusi FMLLP sehingga perbincangan lanjut diadakan.

Related Articles