Tiada dana pelajaran MARA digunakan taja Kelantan – UniKL

UniKL dalam kenyataan hari ini memberitahu, tiada sebarang dana tajaan pelajaran pelajar daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) digunakan dalam penajaan tersebut.

“Pembiayaan program pemasaran dan penajaan ini dibuat secara pentadbiran menggunakan belanja mengurus yang diluluskan setiap tahun yang diperuntukkan khusus untuk tujuan pengiklanan dan promosi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan, penglibatan penajaan UniKL dalam pasukan Kelantan telah memberi impak besar kepada penjenamaan UniKL yang menyaksikan universiti itu berjaya menarik lebih ramai pelajar mengikuti program-program yang ditawarkan.

“Sebagai sebuah universiti yang masih baru dan dalam proses untuk meletakkan UniKL ke mercu yang lebih tinggi, pihak universiti sentiasa mencari peluang untuk memperkukuhkan jenama UniKL di mata masyarakat di samping sentiasa meningkat kualiti pendidikan yang ditawarkannya,” kata kenyataan itu lagi.

Jelas kenyataan itu, pemilihan Kelantan dibuat kerana pada waktu keputusan penajaan dibuat pada 2013, pasukan Kelantan adalah pasukan paling berjaya dalam Liga Bolasepak Malaysia dan mempunyai ramai pengikut.

“Oleh yang demikian, UniKL memutuskan untuk bekerjasama dengan pasukan Kelantan sebagai rakan strategik pemasaran,” kata kenyataan itu lagi. 

Related Articles