Suarez terima anugerah Kasut Emas kedua

Penyerang Barcelona itu meledak 40 gol dalam 35 penampilan La Liga dan membantu Barca mengekalkan kejuaraan Sepanyol pada musim lalu. Beliau menamatkan kempen 2015-16 dengan 59 gol daripada 52 penampilan bersama Barca dalam semua kejohanan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih Barcelona kerana saya berada di sini (Barcelona), membenarkan saya untuk mencapai impian dan sasaran saya.

“Saya mempunyai rakan sepasukan yang menakjubkan, yang menjadikan perkara lebih mudah bagi saya,” kata penyerang kebangsaan Uruguay berusia 29 tahun itu, pada Jumaat.

Bekas pemain Liverpool itu turut menyifatkan dia berdepan ‘masa yang sukar’ sebelum menyertai gergasi Sepanyol itu.

Ia termasuk penggantungan selama empat bulan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Suarez sudah menandatangani kontrak bersama Barcelona selepas kempen Piala Dunia itu, namun terlepas aksi di awal musim susulan penggantungan.

Begitupun, beliau menamatkan saingan dengan menjuarai La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara pada kempen pertamanya di Nou Camp.

Pada musim lalu, pemain itu membantu pasukan mengekalkan kejuaraan La Liga dan Piala Raja Sepanyol. Anugerah sama yang dimenanginya ialah apabila bersama Liverpool pada musim 2013-14 apabila meledak 31 gol ketika membantu The Reds menjadi naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL). – Reuters

Related Articles