Walaupun kelab Merseyside itu sudah cukup stabil di bawah pemiliknya sekarang, John W Henry dan syarikat pelaburan sukan dari Amerika Syarikat, Fenway Sports Group, pembida misteri yang dikatakan berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), yakin dapat menyempurnakan pembelian itu.
Beberapa kelab gergasi Eropah sudah berjaya diambil alih pemilik-pemilik dari Arab, antaranya Manchester City yang dimiliki Sheikh Mansour – kerabat diraja di Abu Dhabi. Abang tirinya, Sheikh Khalifa, 68, yang kini memegang jawatan Presiden UAE dan dilaporkan mempunyai aset bernilai lebih 30 bilion pound (RM165 bilion), dikatakan individu yang berminat membeli Liverpool.
“Tidak ada peraturan dalam Liga Perdana yang melarang ahli keluarga memiliki kelab berbeza,” kata jurucakap Liga Perdana Inggeris.
Liverpool dinilai sekitar 650 juta pound (RM3.6 bilion) selepas Fenway Sports membeli kelab berkenaan daripada pemilik sebelumnya – Tom Hicks dan George N Gillett, Jr – pada harga 300 juta pound (RM1.7 bilion). – Agensi