Setia bersama kami, seru Presiden JDT

Tunku Tun Aminah berkata, adalah penting untuk penyokong memberikan sokongan kepada JDT secara berterusan dan bukannya hanya ketika kelab mencipta kemenangan.

“Anda tidak boleh menang setiap masa. Menang atau kalah, anda perlu setia dan sokong pemain dan pasukan anda serta rakan-rakan anda juga.

“Kadang-kadang saya perasan bila menang semua gembira, bila kalah tiba-tiba kosong (stadium). Tidak boleh begitu, kesetiaan perlu ada,” katanya dalam majlis memperkenalkan dirinya selaku Presiden JDT yang baharu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd. Fahmy Yahya dan Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards.

Pelantikan Tunku Puteri Johor itu sebagai Presiden JDT diumumkan menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers pada hujung bulan lalu.

Sebelum ini, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang kelihatan terkilan dengan kemerosotan kehadiran penyokong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, memberitahu beliau ingin berehat seketika daripada arena bola sepak.

Keputusan untuk berehat antara setahun dan tiga tahun itu mungkin diambil sekiranya JDT meraih kejuaraan Liga Super buat kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Ditanya mengenai perasaannya ketika dilantik sebagai presiden kelab tersebut, Tunku Tun Aminah mengakui terkejut, namun berbesar hati dengan pelantikan itu.

“Ini merupakan satu penghormatan kepada saya dan saya berjanji untuk melakukan yang terbaik bagi membantu kekanda saya (Tunku Ismail) dan semua yang terlibat dengan JDT,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Tun Aminah turut menyatakan komitmen untuk memberi perhatian yang lebih kepada pembangunan akademi dan bola sepak di peringkat kanak-kanak.

Tunku Tun Aminah pada masa sama turut mempertimbangkan cadangan penyokong untuk menubuhkan kelab bola sepak wanita JDT pada masa akan datang.

Related Articles