Menurut beliau, mungkin sudah tiba masa Kelantan membuat pembaharuan dari segi pengurusan sebagaimana dilakukan beberapa pasukan lain yang kemudiannya berjaya mencipta kecemerlangan.
Sehubungan itu, beliau berhasrat melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2008 lalu sekali gus memberi laluan kepada orang baharu untuk memimpin gergasi Pantai Timur tersebut.
“Apabila tengok pasukan lain seperti Kedah cemerlang, saya nak tengok Kelantan pun cemerlang, jadi kita kena beri peluang kepada orang baharu. Kedah, Johor, Selangor yang berjaya semua ada daya kepimpinan baharu.
“Saya ini dah habis gas. Eloklah kita buat pembaharuan kepada Kelantan juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kit Peperiksaan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Ketereh, di Kota Bharu pada Khamis.
Sebelum ini, Annuar pernah beberapa kali menyatakan kesediaannya secara terbuka untuk melepaskan jawatan itu, namun tiada siapa tampil menawarkan diri untuk mengambil alih pengurusan badan bola sepak negeri tersebut.
Kelantan terpalit dengan pelbagai isu akibat masalah kewangan termasuk tunggakan gaji pemain serta terbaharu, khabar angin penghijrahan enam pemainnya ke pasukan lain untuk Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Ditanya mengenai khabar angin penghijrahan enam pemain serentak, Annuar berkata, dia tidak tahu menahu perkara tersebut dan sekiranya benar, para pemain perlu sedar mereka terikat dengan kontrak yang perlu dipenuhi terlebih dahulu, memetik Utusan Online.