Pasangan beregu utama negara, Goh V Shem and Tan Wee Kiong mendapat tentangan sengit apabila memulakan perlawanan dalam Kumpulan B, menewaskan pemain Jerman, Michael Fuchs dan Johannes Schoettler 21-14, 21-17 dalam tempoh 44 minit.
“Kami benar-benar diuji pemain Jerman dan tahu cabaran baru sahaja bermula untuk kami. Kami harus bersedia untuk hadapi perlawanan seterusnya dan harus terus kekal memberi tumpuan,” kata V Shem.
Pasangan beregu nombor 12 dunia itu akan menentang pasangan Amerika Syarikat, Philip Chew dan Sattawat Pongnairat, pada Jumaat sebelum menamatkan perlawanan kumpulan mereka bertemu pasangan beregu nombor empat dunia, Fu Haifeng dan Zhang Nan dari China, keesokannya.
Beregu badminton wanita negara, Vivian Kah Mun/Woon Khe Wei juga melepasi aksi pertama kumpulan C dengan 21-17, 24-22 menewaskan pasangan Great Britain, Heather Olver/Lauren Smith.
Pasangan itu akan bertemu pemain Hong Kong, Poon Lok Yan dan Tse Ying Suet dalam aksi perlawnan kedua esok.
Sementara itu, gandingan beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying juga diuji apabila bertemu pasangan Bodin Isara/Savitree Amitrapai dari Thailand, yang berlangsung selama 40 minit.
Pasangan beregu campuran negara itu akan menentang pemain Australia, Robon Middleton/Leanne Choo dalam perlawanan Kumpulan C esok. – Bernama