Raih perak, kerajaan Melaka beri insentif kepada pasangan beregu badminton campuran

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata pemberian insentif itu adalah sebagai penghargaan atas kejayaan anak jati kelahiran Melaka, Goh Liu Ying dan gandingannya Chan Peng Soon yang berasal dari Pulau Pinang.

Beliau berkata setiap daripada mereka akan mendapat RM25,000 dan kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan ganjaran lain kepada pasangan itu.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pasangan Liu Ying dan Peng Soon kerana memenangi pingat perak walaupun kita menaruh harapan yang besar untuk meraih emas pertama Sukan Olimpik.

“Dalam perlawanan akhir ini nasib tidak menyebelahi kita, selain tekanan yang dihadapi kedua-dua pemain negara,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir beregu campuran itu.

Pasangan negara tewas kepada gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 14-21, 12-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mencadangkan penganugerahan pingat Bintang Cemerlang Melaka kepada Liu Ying yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dan Melaka di peringkat antarabangsa. –Bernama

Related Articles