Qu Puteh, Kelantan hanya berpisah sementara

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa, menyedari kontrak mereka masih berbaki setahun, kedua-dua pihak bersetuju duduk semeja dan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian.

Hasil rundingan tersebut, kata beliau, Vida Beauty dan Kafa bersetuju menangguhkan dahulu kontrak berkaitan penajaan yang pernah ditandatangani sehingga diberitahu kemudian.

“Dalam pertemuan dengan pihak beliau (Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman), disyorkan supaya tajaan ditangguhkan untuk musim depan iaitu 2017, bukan dibatalkan kerana beliau ingin kukuhkan perniagaan dahulu. Ada sedikit sebanyak masalah beliau perlu atasi.

“Kami faham keadaan itu jadi kami bersetuju menangguhkannya. Dengan ini, segala kewajipan Vida Beauty dalam kontrak masih terpakai cuma tidak dikuatkuasakan pada 2017.

“Penangguhan ini belum ada tempoh masa. Kalau pada 2018, keadaan bertambah baik, kami teruskan tetapi kalau belum bersedia, mungkin tahun berikutnya,” katanya di Kota Bharu pada Sabtu.

Sebelum ini, Hasmiza atau Dr. Vida pernah meluahkan kekecewaan terhadap prestasi Kelantan yang tidak menentu sehingga pihaknya menyuarakan hasrat enggan meneruskan tajaan biarpun kontrak mereka masih berbaki setahun.

Penarikan penajaan Vida Beauty tersebut dijangka memberi tamparan hebat kepada Kafa memandangkan persatuan itu dikatakan sedang berdepan masalah kewangan dan diselubungi isu tunggakan gaji pemain.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, penangguhan kontrak tajaan Vida Beauty yang berbaki RM8 juta menyaksikan Kelantan bakal mengharungi Liga M musim baharu bersama penaja baharu.

“Pada musim depan, hal-hal berkaitan barangan cenderamata, jersi dan lain-lain semua baharu. Kami akan susun semula semua penaja utama dan kali ini, tanpa Pamoga Qu Puteh,” katanya.

Mengulas isu tunggakan gaji terbaharu pemain sebagaimana didedahkan akhbar ini kelmarin, Annuar menegaskan, perkara itu memang berlaku dan beliau tidak akan menyembunyikannya daripada pengetahuan umum.

“Mengikut kontrak, Vida Beauty bersetuju menaja RM8 juta semusim namun tahun ini kami hanya terima RM4 juta. Di situ kita sudah kurang RM4 juta daripada bajet asal. Tolak tambah semua, kami masih kekurangan kira-kira RM5 juta pada musim ini.

“Sebelum perlawanan dengan Perak baru-baru ini, saya terpaksa keluarkan cek sendiri bernilai RM420,000 untuk bayar gaji pemain. Duit itu hanya mampu tampung 20 pemain sahaja jadi masih berbaki dalam 14 ke 15 orang yang belum terima gaji.

“Setakat ini, itu sahaja kemampuan saya. Dalam sebulan Kafa sebenarnya perlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk bayar gaji pemain. Kita sedang sedaya upaya selesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya, memetik Utusan Online.

Related Articles