Polis terima 7 laporan pergaduhan penyokong Perak, JDT

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, semua laporan berkanaan diterima sehingga jam 2 petang hari ini.

Katanya, dua lelaki berusia antara 25 dan 31 tahun turut ditahan dalam kekecohan itu selepas dipercayai membawa masuk suar ke dalam stadium.

“Kertas siasatan dibuka membabitkan dua penyokong JDT kerana membawa masuk suar ke dalam stadium dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Chang Keong berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada provokasi kedua-dua belah pihak (penyokong JDT dan Perak).

Katanya, selepas itu bermula caci maki antara penyokong disusuli dengan perbuatan membaling objek termasuk botol minuman dan mercun sehingga menyebabkan penyokong kedua-dua pasukan bergaduh di tempat duduk penyokong.

“Bagi mengasingkan kedua-dua kumpulan penyokong itu, polis dan penjaga stadium telah membuka pintu pagar, namun penyokong JDT yang menyerbu masuk ke dalam padang telah bertindak agresif dengan merosakkan papan iklan (billboard) di tepi padang dan membaling objek ke arah penyokong Perak yang berada di tempat duduk penonton,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kekecohan berjaya dileraikan dalam tempoh 30 minit dan semua penonton dapat disuraikan sebelum diarah meninggalkan stadium dengan diiringi kereta peronda polis (MPV) sehingga ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). – Berita Harian

 

Related Articles