Pemilik Akademi Badminton Tawau itu menganggap pingat itu sebagai hadiah kepada pengorbanan besar keluarga mereka yang terpaksa berjauhan dengan Wee Kiong selepas mendapat tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sejak berusia 13 tahun.
Wee Kiong yang dilahirkan pada 21 Mei 1989 di Tangkak, Johor, mula memegang raket seawal usia enam tahun dan terpaksa berjauhan dengan keluarganya, yang berpindah ke Tawau apabila memasuki SSBJ.
“Dia diajar bermain badminton sejak umur enam tahun kerana saya dapat lihat dia mempunyai bakat. Selepas dia masuk SSBJ, kami pindah ke Tawau dan hanya berjumpanya dua kali setahun.
“Saya memang cukup sayang kepadanya kerana dia boleh berdikari pada usia muda,” katanya.
Turut gembira dengan pencapaian Wee Kiong ialah adik perempuannya, Tan Yun Ying, 15, yang mahu melihat abangnya muncul juara pada Sukan Olimpik seterusnya di Tokyo pada 2020.
“Saya bangga dengannya dan dialah wira saya…saya sangat gembira dan teruja dia dapat meraih pingat perak,” katanya.
Gandingan Wee Kiong-Goh V Shem meraih pingat itu selepas tewas kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan pada perlawanan akhir di Rio. – Bernama