Pendrive kontroversi tiada unsur rasuah, kata SPRM

Azam berkata, pihaknya bagaimanapun akan menghantar satu laporan berhubung siasatan berkenaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat untuk penambahbaikan mengenai isu teknikal yang dibangkitkan.

“Hasil penelitian terhadap isi kandungan pendrive yang diserahkan oleh Khairy pada 2 September lalu itu, didapati ia tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

“Susulan itu, SPRM akan menghantar satu laporan mengenai siasatan tersebut kepada FAM dalam tempoh terdekat ini bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Azam berkata, SPRM juga bersedia untuk memberi bekerjasama dengan FAM dan mana-mana pihak dalam hal berkaitan bagi membincangkan isu yang timbul sekiranya melibatkan unsur rasuah.

Pendrive berkenaan diserahkan kepada Khairy oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Tunku Ismail memberi amaran akan mendedahkan identiti individu yang dinamakan dalam pendrive tersebut sekiranya enggan meninggalkan FAM tahun hadapan.

Tunku Ismail berkata, badan induk persatuan bola sepak negara itu seharusnya diterajui individu yang benar-benar berkeupayaan untuk menjalankan tugas.

“Saya hanya nak nasihat kepada individu-individu tersebut, hanya saya sahaja tahu siapa, tahun depan awak berundur. Kalau awak tak berundur, saya dedahkan semua sekali.

“Jika tidak mahu saya dedahkan, awak berundur dengan cara baik, kita lantik orang baharu yang boleh menjalankan tugas,” katanya.

Azam bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kandungan pendrive itu akan didedahkan kepada umum seperti mana permintaan Khairy ketika menyerahkannya tempoh hari.

Related Articles