Mohd Shahmil Mohd Saad yang beraksi dalam acara angkat berat kategori bawah 107 kg hanya mampu melakukan angkatan 196 kg untuk menduduki tempat kelapan daripada sembilan peserta dalam acara itu yang berlangsung di Riocentro Pavilion 2.
Bagaimanapun, angkatan itu sudah memadai untuk atlet berusia 30 tahun itu menyamakan rekod peribadinya yang dicatatkan pada Kejohanan Angkat Berat Piala Dunia IPC 2016 di Kuala Lumpur pada Februari.
Atlet dari Greece, Pavlos Mamalos merangkul emas dengan angkatan 238 kg sementara atlet dari Mesir, Mohamed Ahmed dan atlet dari Iran, Ali Sadeghzadehsalmani, masing-masing meraih perak dan gangsa dengan angkatan 233 kg dan 226 kg.
Sementara itu, atlet negara dalam acara memanah, Yuhaizam Yahya gagal mara ke pusingan seterusnya selepas tewas 126-136 kepada Hadi Nori dari Iran pada pusingan penyingkiran 1/16 dalam acara compound. – Bernama