Paralimpik 2016: Tune Talk beri khidmat percuma seumur hidup

Pemenang pingat emas Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, 29, dalam acara lumba lari 100 meter T36, Muhammad Ziyad Zolkefli, 26, (lontar peluru F20) dan Abdul Latif Romly, 19, (lompat jauh T20) masing-masing menerima penghargaan tersebut dalam majlis Malam Penghargaan Kontinjen Malaysia di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan di ibu negara pada Sabtu.

Ketua jurulatih olahraga paralimpik negara R. Jaganathan dan dua jurulatih lain turut menerima perkhidmatan sama daripada Tune Talk, sementara pemenang pingat gangsa Siti Noor Radiah Ismail, 23, dalam acara lompat jauh kategori T20 diberi perkhidmatan percuma selama tiga tahun.

Sebanyak 17 lagi atlet paralimpik yang turut mewakili negara ke temasya terbesar dunia itu turut diberikan perkhidmatan percuma selama tiga tahun.
Pengumuman dan penghargaan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Malaysia, Jason Lo.

“Saya menghormati kesemua jurulatih dan atlet yang terlibat kerana kerja serta usaha yang dilakukan mereka selama ini sehingga berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia. Anda semua telah membanggakan rakyat Malaysia.

“Dahulu tiada siapa pun mahu melihat sukan paralimpik, tetapi kini semua orang mahu bercakap mengenai atlet paralimpik. Kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga mereka semua, terutama pemenang pingat yang dikejar oleh pelbagai pihak,” katanya, memetik laporan Utusan Online.

Related Articles