Malah penerjun berusia 26 tahun itu berjanji menebus kesilapannya dengan tampil melakukan terjunan mantap apabila turun bergandingan dengan ratu terjun, Pandelela Rinong.
“Apa yang berlaku dalam 3 meter papan anjal seirama kelmarin, sudah saya lupakan.
“Ini kerana saya mempunyai tugas kedua yang penting dalam 10 meter platform seirama pula.
“Saya harap tidak melakukan kesilapan lagi dan dapat menebusnya pagi esok (Selasa). Saya tidak mahu mengecewakan gandingan saya lagi,” kata Jun Hoong.
Jun Hoong yang menangis sebaik tamat saingan 3 meter papan anjal seirama mengakui kesilapannya menjadi punca dia dan gandingannya, Nur Dhabitah Sabri terlepas pingat gangsa.
Gandingan itu berada dalam posisi baik untuk memenangi gangsa sehingga terjunan ketiga tetapi kesilapan Jun Hoong pada terjunan keempat menyebabkan dia dan Dhabitah terpaksa menggigit jari. – Berita Harian