Selepas berjaya menempuh saringan dan menempatkan diri dalam kalangan enam pelumba dalam saingan memburu pingat, penunggang berusia 28 tahun itu terpaksa mengharungi detik yang menyeksakan di Olympic Veldrome selepas perlumbaan final dihentikan berikutan pelanggaran teknikal.
Selepas pistol permulaan bagi perlumbaan lapan pusingan itu dibunyikan, Jason Kenny dari Britain terkeluar daripada garisan sebelum derny membuka laluan dalam pusingan ketujuh.
Derny adalah basikal bermotor yang dinaiki seorang penunggang yang mengepalai barisan pelumba basikal Olimpik dalam acara keirin.
Azizulhasni sedang mendahulu kelompok enam pelumba terbaik apabila perlumbaan dihentikan buat kali pertama, dan sekali lagi apabila perlumbaan dimulakan semula, Joachim Eilers dari Jerman melakukan perkara serupa sebelum Derny membuka laluan bagi dua pusingan terakhir.
“Saya sangat bimbang dan jantung saya berdegup kencang sebab saya boleh dipersalahkan dan menjadi antara pelumba yang boleh dibatalkan.
“Penyertaan yang dibatalkan di peringkat ini adalah satu malapetaka sebab kesalahan seperti ini boleh mengakibatkan penyertaan dibatalkan.
“Bagaimanapun juri tidak menghukum sesiapa dan memulakan kembali perlumbaan,” katanya. Azizulhasni menamatkan perlumbaan dengan meraih pingat gangsa di belakang Kenny dan pelmba Belanda Matthijs Buchli.
“Jika saya, seorang penunggang dari Asia, yang memintas derny, sudah pasti saya akan dibatalkan… tapi di sini saya rasa disebabkan pelumbanya adalah ‘orang putih’, tiada siapa pun yang dihukum,” kata Azizulhasni, wakil tunggal Asia dalam pusingan akhir.
Mengenai perancangannya, Azizulhasni berkata, beliau mahu menamatkan tahun akhir kursus pengurusan sukan di sebuah universiti di Melbourne, Australia, tempat beliau berpusat sejak 2007.
Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Bealsey berkata, beliau gembira dengan pencapaian Azizulhasni meskipun pelumba itu berhasrat membawa pulang pingat emas.
Beliau berkata Azizulhasni akan menamatkan pengajian ijazahnya pada Januari dan perkara itu akan menjadi tumpuan beliau sehingga akhir tahun ini.
Katanya, pelumba itu juga berhasrat untuk bertanding dan memenangi pingat emas dalam perlumbaan keirin dan pecut individu dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
“Beliau belum pernah menang pingat dalam acara individu Sukan SEA dan amat berharap untuk melakukannya tahun depan,” kata Beasley.
Jurulatih Australia itu melatih Azizulhasni dan penunggang basikal trek lain selama hampir sedekad dan telah dimasukkan dalam Program Podium.
Podium adalah program yang diwujudkan khas untuk menyediakan atlet terpilih bagi menyumbang pingat dalam temasya sukan serantau dan antarabangsa. – Bernama