Olimpik: Chong Wei paling layak bawa Jalur Gemilang, kata BAM

Pemain No. 2 dunia itu merupakan calon terbaik untuk diberi penghormatan itu selepas mengambil kira pencapaiannya selama ini, termasuk kejayaan meraih dua pingat perak di temasya Beijing 2008 dan London 2012.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, persatuan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada jaguh No.1 negara itu selepas mengambil kira sumbangan yang diberikan jaguh perseorangan negara itu dalam dua penampilan terakhir selain pencapaiannya di pentas antarabangsa.

Katanya, Chong Wei sememangnya layak untuk mengetuai perbarisan kontinjen Malaysia pada 5 Ogos ini kerana dia adala atlet paling berpengalaman dalam kontinjen Malaysia kali ini, apatah lagi ini adalah Olimpik terakhir yang akan disertainya.

“Saya sendiri akan mencadangkan agar Chong Wei dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan dalam mesyuarat MOM (Majlis Olimpik Malaysia) Khamis ini.

“BAM memberikan sokongan kepadanya selepas mengambil kira sumbangannya, selain dia merupakan atlet paling berpengalaman dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang mampu menaikkan semangat barisan atlet lain yang akan beraksi.

“Sukan badminton memiliki atlet teramai dalam kontinjen kali ini dengan lapan pemain beraksi dalam lima acara.

“Saya rasakan Chong Wei sepatutnya mengetuai perbarisan negara,” katanya yang juga Timbalan Presiden MOM memetik laporan Utusan Malaysia.

Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid yang juga pemangku Presiden BAM akan menjadi Ketua Kontinjen Malaysia dalam temasya 5-21 Ogos ini.

Meskipun MOM enggan mendedahkan atlet yang diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang kali ini, namun Presidennya, Tunku Imran Tuanku Ja’afar memberi bayangan Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong merupakan calon utama dalam pertimbangan.

Chong Wei ketika ditanya mengenai peluang menjadi pembawa bendera Malaysia dalam temasya kali ini menyuarakan keterujaannya, apatah lagi ini adalah kali pertama dia akan menyertai upacara pembukaan.

Related Articles