Muhammad Ziyad, 26, berkata, mereka berkenalan ketika menuntut di sebuah kolej swasta dan beliau tidak menyangka perkenalan singkat itu akan berakhir ke jinjang pelamin tidak lama lagi.
Menurutnya, beliau hanya sempat belajar empat bulan sahaja dan tidak meneruskan pengajiannya di kolej itu kerana mendapat tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadi atlet sepenuh masa.
“Perkenalan saya dan Zafirah singkat sahaja, selepas itu saya mencarinya di Facebook dan kami mula berkawan sehingga sekarang.
“Saya bersyukur, tahun ini adalah terbaik buat diri saya dengan pencapaian pingat emas Paralimpik dan perkahwinan saya. Kami bertunang pada 15 November tahun lepas, beliau sangat memahami diri saya,” kata juara acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan rekod baharu dunia itu. – Bernama