Susulan daripada itu, beliau mengarahkan Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk menyiasat dakwaan terbabit seperti yang didedahkan Azizul awal hari ini.
“Saya sendiri pun tidak tahu mengenai dakwaan pengurus Azizul ada menghantar surat dan kertas cadangan untuk pembelian basikal.
“Saya sendiri tidak kenal pengurus Azizul atau dihubungi olehnya,” katanya ketika diminta mengulas berhubung status Facebok Azizul yang mengucapkan terima kasih secara sinis kepada Ahmad Razif.
Pada acara final Keirin malam tadi, Azizul yang juga anak kelahiran Dungun berjaya memperoleh pingat gangsa.
Ahmad Razif berkata, Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat juga diminta menyiasat dakwaan Azizul seperti yang dimuatnaik melalui akaun laman sosialnya.
“Jika benar dakwaan Azizul, kerajaan negeri memohon maaf tetapi kita juga sudah mengarahkan MSN dan EXCO terbabit melakukan siasatan secara terperinci,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu itu kerana sukan lumba basikal antara sukan teras negeri selain bola sepak, hoki dan kuda lasak.
“Kerajaan negeri akan menyediakan insentif atas kejayaan Azizul yang berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa.
“Kita sedang membuat persiapan untuk menyambut Azizul sebagai wira dan namanya akan dicatatkan di Muzium Negeri,” katanya yang enggan memaklumkan bentuk insentif akan diberikan kerajaan negeri. –BH Online