KJ tak boleh habiskan baca ‘pendrive’ TMJ satu malam

Katanya beliau hanya mula membaca secara terperinci kandungannya malam tadi dan mengakui tidak boleh menghabiskannya dalam masa satu malam.

Pemacu pena itu didakwa mengandungi maklumat mengenai ketirisan dan salah laku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Ada 279 halaman mengenai laporan itu dalam pemacu pena tersebut. Ia diberikan kepada saya pada Jumaat…saya mempunyai sedikit waktu lapang pada Sabtu dan Ahad tetapi masih terlibat dalam beberapa program seperti Fit Malaysia pada Sabtu dan satu lagi acara pada sebelah petang.

“Saya hanya dapat membacanya malam tadi. Anda perlu beri saya sedikit masa untuk membaca semua dokumen itu. (Selepas itu) Saya akan maklumkan kepada anda langkah seterusnya,” kata Khairy.

Beliau bagaimanapun enggan menjawap soalan lain mengenai pemacu pena itu.

Terdahulu, Khairy melancarkan acara separuh maraton HSN21KM tajaan Proton Holdings Bhd yang akan menjadi acara utama sambutan Hari Sukan Negara pada 8 Oktober ini di Dataran Merdeka, di kementeriannya.

Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menyerahkan pemacu pena yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku FAM kepada Khairy.

Tunku Ismail memutuskan untuk menyerahkan pemacu pena berkenaan kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM, selain mahu memberi tumpuan kepada kelabnya. – Bernama

Related Articles