Khairy, FAM bincang formula Khamis ini

Bagaimanapun kata Khairy, pertemuan itu tidak akan disertai oleh pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana beliau tidak mempunyai kedudukan dalam FAM.

“Pada Khamis ini saya akan bertemu dengan Exco FAM kerana pada 11 Ogos saya akan berlepas ke Brazil (Sukan Olimpik), jadi saya harap ia akan diselesaikan sebelum 11 hari bulan.

“Beliau (Tunku Ismail) tidak terlibat kerana tiada kedudukan dalam Exco. Ini hanya untuk Exco FAM sahaja, bukan mesyuarat tetapi hanya pertemuan sebab saya sendiri pun tiada kedudukan dalam FAM.

“Saya hanya adakan pertemuan dengan Exco untuk maklum apakah cadangan yang dipersetujui bersama oleh Presiden (FAM) dan saya, saya hanya sebagai ‘pemudah cara’ dan kalau dipersetujui oleh Exco maka saya harap dapat diumumkan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Peserta Program Intern Mahasiswa dari Timur Tengah ke GLC di Kuala Lumpur pada Selasa.

Selasa lalu minggu lalu, Khairy mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi membincangkan mengenai beberapa isu yang dibangkitkan Tunku Ismail, terutama mengenai dakwaan kurangnya latihan intensiti tinggi dalam skuad kebangsaan yang menyebabkan beberapa pemain JDT mengalami kecederaan apabila pulang daripada tugasan bersama negara.

Rentetan daripada itu, empat pemain JDT mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan diketuai Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safiq Rahim, S. Kunanlan serta Amirulhadi Zainal.

Tunku Ismail juga mendakwa, beliau memiliki pendrive yang menyimpan rahsia 30 tahun FAM, yang antara lain dikatakan mengandungi bukti salah laku serta ketirisan kewangan badan bola sepak kebangsaan itu. – Utusan Online

Related Articles