Pelumba berusia 17 tahun itu tiba dengan penerbangan Malaysia Airlines Berhad MH0003 dari London di KLIA pada 7.45 pagi.
Lebih 100 peminat memenuhi ruang menunggu di Balai Ketibaan dengan memegang poster dan dua kain rentang gergasi dengan ucapan tahniah kepada pelumba negara yang meraih podium pada pusingan kedua perlumbaan motosikal Grand Prix Argentina, 3 April lepas.
Kedua ibu bapa Khairul Idham atau lebih dikenali dengan panggilan KIP dan Keon, Pawi Omar, 52, dan Hasnah Sulaiman, 49, turut menyambut anak kesayangan mereka itu dengan air mata kegembiraan.
Difahamkan rombongan yang terdiri daripada sanak saudara dan rakan-rakan Khairul Idham serta penduduk kampung ke Kuala Lumpur, menaiki tiga bas untuk memberi sambutan wira kepada pelumba negara itu.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Boon Siew Honda Sdn Bhd, Datuk Seri Tan Hui Jing dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nobohide Nagata.
Sementara itu, Khairul Idham berasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh anggota keluarga, rakan-rakan serta peminat beliau di KLIA pagi ini.
“Saya berterima kasih kepada peminat, bos dan juga ibu bapa saya yang menyambut ketibaan saya pagi ini,” katanya.
Khairul Idham akan terus pulang ke kampung dan dijangka akan bertemu peminat di Batu Kawan, Pulau Pinang pada perlumbaan Cub Prix Petronas, Ahad ini.
Beliau akan ke Sepanyol untuk meneruskan cabaran pusingan keempat di Litar Jerez pada 22 hingga 24 April.
Selepas meraih podium di Argentina, Khairul Idham menamatkan pusingan ketiga di Amerika Syarikat di kedudukan ke-20 selepas bermula dari petak ke-32.
“Kemenangan podium tempoh hari bukan bermakna ia jadi tekanan sebab saya masih dalam proses belajar. Untuk perlumbaan seterusnya, saya boleh perbaiki dan lakukan yang terbaik.
“Yang penting saya perlu cepat belajar dan sesuaikan dengan keadaan perlumbaan.
“Saya akan pastikan sentiasa berikan yang terbaik untuk peminat dan rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama