Kedah hilang dua tonggak hadapi PDRM

Ketua jurulatihnya Tan Cheng Hoe berkata, Sandro dan Muhammad Syazwan terpaksa direhatkan berikutan kecederaan tetapi ia bukan alasan untuk pasukannya tidak menunjukkan aksi yang diharapkan bagi mencari kemenangan di laman sendiri.

“Sandro telah pulang ke Brazil untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan tulang belakang manakala Muhammad Syazwan dijadualkan menjalani pembedahan lutut kanan pada 24 Mei ini.

“Walaupun ketiadaan mereka sedikit menjejaskan kekuatan pasukan, ia tidak akan menjadi penghalang buat kami beraksi dengan baik. Ketua pasukan, Khairul Helmi Johari juga akan kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan tulang belakangnya,” katanya.

Chenh Hoe berkata, skuad Kedah perlu menunjukkan aksi yang baik dalam perlawanan menentang PDRM bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam liga selepas berada di tangga ketujuh, terikat 12 mata dengan Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, Kedah perlu menang pada perlawanan itu kerana telah banyak tercicir mata selepas seri dengan Perak, Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Johor Darul Ta’zim dan Pahang manakala hanya menang dua kali ke atas Terengganu dan Kelantan.

“Memandangkan semua pemain berada dalam keadaan baik selepas berehat hampir dua minggu, saya harap mereka dapat mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang 90 minit perlawanan kerana PDRM juga mempunyai barisan yang hebat.

“Kami perlu gunakan kelebihan bermain di halaman sendiri untuk mengumpul mata sebagai bekalan,” katanya. – Bernama

Related Articles