Jutawan Melayu beli kelab bola Itali

Dr Noordin ‘jatuh hati’ kepada pasukan yang beraksi di Serie B itu selepas yakin pada potensi pasukan yang terkenal dengan jolokan Biancorossi itu.

Beliau yang terbabit dalam perniagaan berasaskan minyak dan berlian itu mahukan cabaran baharu dalam hidupnya dan berhasrat membawa pasukan miliknya itu kembali bersaing dalam liga elit negara itu iaitu Serie A.

Beliau meletakkan tempoh lima tahun untuk menjadikan Bari sebagai sebuah Kelab yang terbabik serta mampu memberi saingan kepada pasukan elit seperti Roma dan Lazio.

“Roma dan Lazio adalah pasukan yang beraksi dalam Serie A dan jika mereka menjadi juara liga, tiada apa yang hendak dihairankan. Namun, jika saya membawa Bari menjuarai Serie B dan seterusnya layak beraksi di Serie A, ia adalah satu pencapaian terbesar yang boleh dibanggakan.

“Dalam tempoh lima tahun lagi, Bari akan menjadi pasukan terbaik di Itali dan saya percaya dengan semangat ‘Malaysia Boleh’, kita mampu melakukannya kerana tiada apa yang mustahil dalam sukan ini,” katanya pada sidang media pertama dihadirinya sebagai pemilik kelab itu di Bandar Istana Metropolitan, Bari, semalam.

Turut hadir Presiden Bari FC 1908, Gianluca Paparesta; Datuk Bandar Bari, Antonio Decaro serta peguamnya, Grazia Iannarelli.

Dr Noordin berkata, pemilikannya ke atas kelab Itali itu juga bakal menjadi platform kepada pemain muda di Malaysia untuk mendapat pendedahan di Eropah dan membentuk mereka menjadi pemain profesional yang lebih baik.

“Pada pandangan saya, bola sepak di Malaysia tidak lagi mampu menarik minat anak muda kerana mereka menganggap sukan ini tiada masa depan dan tidak boleh dijadikan kerjaya.

“Atas dasar ini, saya mahu Bari menjadi platform yang boleh membentuk mereka menjadi pemain yang lebih baik yang mendapat pendedahan bersama pemain terbaik dunia.

Melalui pemilikan baharu ini, Dr Noordin akan menjadi pemegang saham majoriti dengan 50 peratus, Paparesta mengekalkan 45 peratus manakala Cosmo Giancaspro kekal dengan pemilikan 5 peratus.

Related Articles