JDT juara ‘hatrik’ Liga Super, masih ada misi penting selain Harimau Malaya

Kejayaan yang dikecapi pasukan bola sepak berkenaan pada perlawanan menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam Jumaat semalam menunjukkan komitmen yang baik dari pemain-pemain JDT.

Kapten pasukan terbabit, Safiq Rahim berkata buat masa kini beliau akan menumpukan perhatian dan memberi komitmen penuh kepada pasukan selatan negara itu untuk mengekalkan prestasi bagi perlawanan suku akhir Piala AFC.

Safiq berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan permintaan buat dirinya dan tiga lagi rakannya yang menjadi tonggak JDT untuk kembali bersama pasukan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

“Sekarang saya tidak memikirkan lagi tentang pasukan kebangsaan.

“Bagi saya itu satu penghargaan juga bagi diri saya, tapi saya mahu beri tumpuan dahulu untuk pasukan JDT.

“Kita ada lagi misi yang penting untuk JDT iaitu suku akhir Piala AFC. Kita mahu pasukan JDT kekalkan kita punya pencapaian,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, di laman Facebook Johor Southern Tigers, TMJ berkata bahawa kemenangan yang dikecapi JDT malam semalam dianugerahkan buat adindanya Tengu Laksamana Johor, Almarhum Tunku Jalil Sultan Ibrahim.

Kejayaan itu diraikan bersama penyokong Harimau Selatan dengan mengelilingi stadium bersama bendera milik Almarhum Tengku Jalil yang diselubungkan di badan Tengku Ismail.

Related Articles