JDT dedah masalah FAM, dakwa ada skandal atur perlawanan

Melalui Facebook Johor Southern Tigers, sebanyak 24 kelemahan FAM disenaraikan melibatkan masalah kualiti kejurulatihan, kualiti pengurusan dan juga skandal mengatur perlawanan melibatkan pasukan negara Harimau Malaysia.

Maklumat berkenaan turut menyebutkan jurulatih tempatan yang jelas merujuk kepada Ong Kim Swee yang disifatkan sebagai kurang diberi pendedahan mengenai kualiti kejurulatihan dan juga pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Perlawanan dimanipulasi dan masalah mengatur perlawanan tidak ditangani-FAM tidak mengambil berat tentang masalah mengatur perlawanan kerana sesetengah kakitangan didalam FAM adalah sahabat kepada bekas pemain kebangsaan yang terlibat dalam mengatur perlawanan.

“FAM menggunakan kaedah lama dalam pengurusan bolasepak, pentadbiran kekurangan kakitangan yang berkualiti.

“Tindakbalas lemah pengurusan berkaitan krisis media.

“Terdapat perbelanjaan yang tidak diperlukan, tanpa sebarang analisis.

“Gaji jurulatih tempatan dan jurulatih pasukan kebangsaan terlalu tinggi,” memetik kenyataan di Facebook Johor Souther Tigers.

Status berkenaan dimuatnaik dengan menjelaskan pendedahan berkenaan dilakukan oleh sumber dalaman FAM dan juga salah satu organisasi tertinggi yang masih sayangkan bolasepak Malaysia dan pasukan kebangsaan.

Semalam, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mendakwa mempunyai bukti mengenai aktiviti dan maklumat ketirisan yang berlaku di dalam FAM yang terkandung di dalam satu pendrive.

Related Articles