Ketua jurulatih JDT, Mario Gomez berkata, beliau juga berharap pemainnya dapat memburu gol awal bagi meningkatkan semangat dalam pertembungan hebat dengan Skuad Lang Merah itu.
Menurutnya, perlawanan berkenaan disifatkannya sebagai penting dalam usaha membawa bekalan selesa ke Larkin bagi separuh akhir kedua nanti.
“Kami perlu menang perlawanan ini kerana ia perlawanan penting. Ini separuh akhir. Demi untuk meraih kemenangan di tempat lawan, saya berharap semua pemain JDT dapat memburu jaringan awal dan seterusnya kekal konsisten dengan kelebihan dimiliki hingga wisel penamat,” katanya, semalam.
Gomez berkata, kesemua pemain JDT perlu berhati-hati dengan asakan pihak lawan yang dijangka memberi saingan sengit, sekali gus menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri.
“Kami perlu waspada dengan import mereka iaitu Liridon (Krasniqi), Sandro dan beberapa pemain tempatan seperti Baddrol (Bakhtiar) dan Syazwan.
“Beberapa pemain direhatkan pada perlawanan Piala AFC lalu akan diturunkan bagi pertemuan ini. Saya berharap kami akan memperoleh keputusan baik di Kedah,” katanya.
Untuk rekod, JDT melangkah ke separuh akhir Piala FA 2016 selepas menewaskan PDRM dalam aksi suku akhir di tempat lawan dan tempat sendiri. – Sinar Harian