SHAH ALAM: Hasrat skuad lelaki negara untuk mempertahankan gelaran Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) tidak kesampaian apabila tumpas 0-3 kepada skuad China pada aksi final di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, Selangor hari ini.
Malaysia yang menggunakan khidmat perseorangan negara, Leong Jun Hao sebagai pemain pertama perlu menerima kekalahan selepas pemain ranking ke-38 dunia itu ditundukkan Weng Hong Yang, 19-21 dan 17-21.
Situasi itu berlaku apabila dua tonggak perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong direhatkan susulan tidak berada dalam keadaan cergas sepenuhnya kerana masing-masing difahamkan mengalami kesukaran bernafas akibat resdung selain kecederaan belakang.
Usaha pasangan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memberi sinar harapan kepada kem badminton negara juga serba tidak menjadi apabila ditewaskan oleh Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, 16-21 pada set pertama, sebelum kembali bangkit merampas set kedua dengan kemenangan 21-16.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun perlu menerima kehebatan pasangan ke-90 dunia itu dengan kekalahan 21-23 pada set penentuan yang berlangsung selama 66 minit.
Perseorangan negara Eogene Ewe yang dipertaruhkan Malaysia selepas ketinggalan 0-2, juga menyaksikan ranking ke-298 itu meneruskan langkah sumbang apabila mudah ditewaskan oleh Lei Lan Xi menerusi permainan straight set 10-21 dan 14-21.
Ketika ditanya sekiranya strategi Malaysia terganggu selepas beberapa tonggak utama negara terpaksa direhatkan, Aaron berkata ia adalah sebahagian daripada cabaran seorang atlet iaitu mereka harus cepat bertindak menyelesaikan masalah tersebut berbanding melihat perkara itu sebagai masalah.
“Saya rasa bukan satu masalah sebab kami selaku satu pasukan kalau siapa cedera, kita hanya boleh (pilih pemain) lain main. Kita harus selesaikan masalah itu.
“(Lagipun kejohanan) ini adalah persediaan yang baik kerana jika kita tak sertai perlawanan ini, lima minggu kita tak sertai apa-apa kejohanan,” katanya.
Wooi Yik pula menganggap isu berkenaan perlu dilihat dari sudut positif selain merupakan pengalaman berharga buat mereka sekiranya berlaku pada kejohanan akan datang.
Pada edisi dua tahun lepas yang berlangsung di venue sama, skuad lelaki negara berjaya muncul juara buat pertama kali selepas mengatasi Indonesia 3-0 di pentas final. -Bernama