Keputusan itu menyaksikan Felda United layak beraksi saingan Piala AFC 2017 bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terlebih dahulu mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini setelah menang 3-0 ke atas Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada 9 September lepas.
JDT kekal di puncak Liga Super dengan kutipan 55 mata manakala Felda United di tangga kedua dengan kutipan 43 mata dengan baki satu perlawanan.
Felda United bermula baik menerusi jaringan pembukaan oleh Gilberto Carlos Marangoni pada minit ke-18 namun ketinggalan hasil jaringan tiga pemain Sarawak, Tommy Mawat Anak Bada, Nur Shamie Iszuan Amin dan Gilmar da Silva pada minit ke-22, 38 dan minit ke-42.
Pada babak kedua, Felda United bangkit menyamakan kedudukan dengan dua jaringan oleh Zah Rahan Krangar pada minit ke-52 dan Lutfulla Turaev pada minit ke-89.
Juara hatrik Liga Super, JDT pula mencatat kemenangan bergaya 5-1 mengalahkan T-Team menerusi jaringan Mohd Amirul Hadi Zainal (5′), Martin Lucero 26′, 34′, 60′, dan gol sendiri pasukan pelawat, Maiga Abdoulava Youssouf pada minit ke-47.
Gol tunggal T-Team dijaringkan oleh Patrick Dos Santos Cruz pada minit ke-43 pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Kedah menduduki tangga ketiga dengan 37 mata selepas mengalahkan Terengganu 3-0, hasil jaringan Thiago Augusto Fernandes pada minit 13 dan 80′ dan Smetls Shane Edward pada minit ke-62 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Di Stadium Shah Alam, pasukan tuan rumah, Selangor terpaksa akur kekalahan di laman sendiri ekoran kesilapan pemain import mereka, Ukah Ugochukwu dari Nigeria yang memberi mata percuma kepada Perak dengan jaringan minit ke-48.
Dalam pada itu, Pahang naik dua anak tangga daripada kedudukan tercorot liga dengan kutipan 20 mata selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 menerusi gol oleh Matthew Davies, pada minit ke-12 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Namun kedudukan Pahang masih belum selamat untuk kekal dalam liga musim depan apabila pasukan itu perlu menang dalam aksi terakhir menentang T-Team pada 22 Okt ini.
Kekalahan Pulau Pinang dan Terengganu dan Sarawak malam ini juga menyukarkan kedudukan mereka untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan apabila berada dalam lima pasukan tercorot liga tahun ini.
Pada perlawanan terakhir nanti, Pulau Pinang akan bertemu Terengganu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang manakala Sarawak berdepan dengan Polis DirajMalaysia (PDRM) di Stadium Negeri, Kuching.