Penolong ketua konstabel, Mark Roberts menyifatkan kekecohan yang berlaku di Marseille, Perancis itu sebagai kejadian paling serius sepanjang 10 tahun penyiasatannya terhadap masalah keganasan bola sepak.
Roberts mengakui ‘sebilangan’ penyokong England turut mencetuskan masalah namun ‘dalang masalah’ dari Russia didapati lebih ramai berbanding kelompok penyokong England.
“Risikan kami di Marseille melihat mereka memakai perisai dan sarung tangan serta bandana sebelum menyerang penyokong England di pelabuhan terbabit,” kata Roberts yang dipetik dalam akhbar Guardian.
“Kami mengetahui mereka membawa pisau memandangkan seorang penyokong England didapati ditikam. Mereka memakai pakaian seragam berwarna hitam dan kebanyakannya membawa beg kecil dipercayai untuk menyimpan senjata.
“Mereka begitu tersusun ketika memulakan serangan dan masuk ke dataran untuk bersemuka dengan penyokong England mahupun sesiapa saja yang cuba menghalang mereka.
“Secara jujurnya, memang ada sekelompok kecil penyokong England yang turut berada di Marseille untuk mencetuskan kekecohan dan mereka didapati bersalah untuk tindakan anti-sosial yang dilakukan.”
“Namun, kelompok penyokong Russia lebih besar dan kami anggarkan lebih kurang 300 yang datang mencetuskan masalah.
“Mereka mensasarkan penyokong England yang majoritinya adalah individu tidak bersalah yang datang ke Marseille untuk bersuka ria dan menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya.
Selain itu, Roberts turut menjangkakan kekecohan bakal tercetus di Lille minggu ini apabila kedua-dua pasukan itu beraksi sekali lagi dan dia berkata: “fokus utama kita akan memastikan keselamatan rakyat United Kingdom (UK) sepanjang kejohanan berlangsung.” – AFP