Thompson, 24, bermula dengan baik dan memecut sehingga ke garis penamat untuk merakam 10.71 saat serta memeluk Fraser-Pryce selepas tamat perlumbaan.
Tori Bowie daripada Amerika Syarikat meraih pingat perak dengan catatan 10.83s sementara Fraser-Pryce menggondol pingat gangsa dengan 10.86s.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan hasrat Fraser-Pryce untuk melakar hatrik gelaran 100 meter wanita selepas meraih emas pada temasya 2008 dan juga 2012.
Malah, Thompson sendiri mengukuhkan kedudukannya selaku ratu pecut Jamaica yang baharu dengan persembahan hebatnya di Stadium Olimpik.
Melonjak daripada blok permulaan, Thompson mula mendahului pelari lain dan terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu sehingga garis penamat.
Marie-Josee Ta Lou menamatkan saingan di kedudukan keempat sementara pelari Belanda, Dafne Schippers yang dilihat menjadi pilihan bagi acara 200 meter di tempat kelima dengan catatan 10.90s.
Dua lagi atlet – Michelle-Lee Ahye daripada Trinidad dan Tobago serta pelari Amerika Syarikat, English Gardner turut melakar catatan bawah 11s dengan mereka masing-masing merakam 10.92s dan 10.94s.
Ini adalah kali pertama semua pelari merakam catatan bawah 11s dalam satu perlumbaan yang sama sepanjang sejarah acara olahraga. – AFP