Chong Wei pembawa Jalur Gemilang di Rio

Didahului oleh jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selaku pembawa bendera, kontinjen negara tampil bergaya mengenakan baju Melayu dan baju kurung berwarna jingga.

Cabaran kontinjen Malaysia di Rio akan dimulakan oleh pasukan memanah yang mensasarkan untuk memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di London.

Dalam Olimpik 2012, pasukan recurve lelaki terkandas di pusingan kedua manakala Khairul Anuar Mohamed berjaya mara sehingga ke pusingan suku akhir acara individu.

Sementara itu selepas mengharungi pelbagai rintangan, tuan rumah, Sukan Olimpik Brazil kini bersedia untuk mengacarakan temasya Olimpik ke-31 yang akan berlangsung selama dua minggu bermula Sabtu.

Acara pembukaan yang dilakukan dengan teknologi rendah dan kos sederhana akibat masalah ekonomi dan politik yang melanda Brazil, menampilkan persembahan yang menceritakan kehidupan hamba abdi, buruh kasar dan penari-penari yang membentuk sejarah serta budaya negara Amerika Latin itu.

Dengan bunga api membentuk perkataan Rio di langit dan supermodel Gisele Bundchen berjalan diiringi lagu “The Girl from Ipanema,” Rio de Janeiro mengalu-alukan kedatangan Sukan Olimpik pertama di Amerika Selatan dengan tema ‘Pelihara planet kita’.

Penganjur turut menyelitkan mesej berkenaan pemanasan global dengan memancarkan imej-imej ke atas lantai Stadium Maracana yang dibanjiri atlet-atlet daripada 207 negara bertanding.

Pengumuman rasmi pembukaan temasya dibuat oleh pemangku Presiden Brazil, Michel Temer. – Kosmo! Online/AP

 

Related Articles