Beli AC Milan hanya impian, kata TMJ

Tunku Ismail dalam temu ramah eksklusifnya bersama The Straits Times sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat rancangan untuk membeli kelab tersebut.

“Saya tidak kaya seperti ahli perniagaan Malaysia yang lain. Saya hanya seorang pemuda dengan impian dan cita-cita yang besar, itu sahaja,” katanya, memetik kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Menyentuh soal kenyataannya kepada akhbar Singapura itu, Tengku Mahkota Johor itu berkata, beliau memang menyimpan hasrat tersebut, namun keinginan itu hanyalah satu impian.

“Baru-baru ini saya telah ditemu ramah oleh The Straits Times mengenai pencapaian saya bersama JDT dan matlamat lain dalam hidup secara umum. Saya juga ditanya jika saya mempunyai minat untuk membeli sebuah kelab luar negara.

“Sememangnya saya memang ada keinginan tersebut. Jika saya perlu memilih sebuah kelab, ianya adalah AC Milan. Itulah salah satu impian saya,” katanya.

Beliau berkata, ia bagaimanapun bukan bermakna akan membeli kelab tersebut, sebaliknya hanyalah kelab bola sepak yang diminatinya sejak kecil.

Malah JDT juga katanya hari ini masih tidak dapat mengalahkan Kedah dan pasukan Malaysia yang lain.

“Apatah lagi membeli AC Milan dan terpaksa bertembung dengan Juventus dan kelab-kelab gergasi Itali yang lain. Takut saya.

“Kelab saya hanya JDT. Sebuah kelab kecil dengan cita-cita yang besar,” katanya.

Related Articles