BAM bakal buat rombakan besar

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria rombakan tersebut berdasarkan laporan yang akan dikemukakan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berhubung penilaian yang sudah dibuat terhadap semua pemain selain perancangan yang akan dilaksanakan nanti.

“Bagaimanapun, semua­nya terletak di tangan Frost tetapi saya sudah tegaskan, kita mahu satu sistem yang lebih mantap.

“Barisan teknikal dan pengurusan BAM harus bekerjasama bagi memastikan pemain dan jurulatih dalam keadaan baik serta mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Liga Purple Junior di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut Norza, rombakan struktur itu perlu bagi mewujudkan satu sistem baharu yang lebih mantap serta mengambil kira pencapaian semasa setiap pemain yang tidak konsisten ketika ini.

Jelasnya, selain daripada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang sentiasa mempamerkan aksi konsisten, badan induk badminton kebangsaan itu dibelenggu masalah prestasi tidak menentu yang dipamerkan beberapa pemain lain.

“Apa yang pasti, memang ada pemain baharu yang akan diserap masuk ke dalam BAM kerana saya sudah bercakap dengan Morten sebelum ini bahawa semua pemain akan dinilai dalam tempoh enam bulan sekali dan pastikan mereka capai sasaran yang ditetapkan.

“Bagi saya, perkara ini sangat penting kerana sebelum ini kita hanya mengharapkan Chong Wei pada setiap kejohanan.

“Jadi, pemain-pemain lain pun perlu tunjukkan kemahuan tersebut. Jika tidak, kita berikan sahaja peluang itu kepada orang lain,” tegasnya.

Norza yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara berkata, penilaian terhadap jurulatih serta pemain sebenarnya perlu dilakukan lebih awal, namun ia terpaksa ditunda selepas tamat Sukan Olimpik 2016 kerana BAM tidak mahu mengganggu persiapan para atlet terlibat.

Mengulas berhubung hasrat Chong Wei untuk terus beraksi sehingga temasya Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun dalam tempoh empat tahun lagi, Norza berkata, beliau sentiasa menyatakan sokongan penuh terhadap setiap keputusan dibuat jaguh kelahiran Pulau Pinang itu.

“Chong Wei sentiasa ada masanya tersendiri. Dia merupakan legenda badminton negara ini dan hanya dia yang boleh tentukan tempoh untuk dirinya beraksi.

“Kami hanya akan terus beri sokongan sekiranya dia berhasrat untuk terus beraksi,” ujar Norza lagi.

Terdahulu, pemain No.1 dunia itu mengakui mungkin melupakan hasrat bersara awal, sebaliknya bersedia untuk beraksi sehingga Olimpik 2020 tetapi lebih fokus terhadap Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland tahun depan.

Related Articles