Demikian rintihan bekas ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan yang ditamatkan kontrak dengan serta-merta oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada Ahad lalu.
Mengakui keputusan drastik itu amat mengecewakannya, Zainal berkata beliau sudah cuba melakukan yang terbaik untuk pasukan Selangor.
Namun, katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila ramai pemain bergelut dengan kecederaan sekali gus membantutkan hasrat pasukan untuk melakar keputusan cemerlang.
“Awal musim perjalanan boleh dikatakan baik dan sekarang pun Selangor masih di kelompok teratas.
“Cuma kalah berturut-turut itu yang menampakkan keadaan jadi lebih buruk,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Namun, Zainal berkata beliau terpaksa akur dengan keputusan yang dianggap amat mengejutkannya itu.
“Saya kena terima keputusan itu dengan hati terbuka,” katanya.
Susulan pemecatan FAS itu, Zainal berkata beliau tidak serik untuk memimpin mana-mana pasukan selepas ini.
“Kenapa nak serik? Ini memang tugas saya … bola sepak memang darah daging saya. Jika kurang akan diperbaiki.
“Cuma di Selangor keputusan teruk apabila pemain dibelenggu kecederaan dan tidak dapat beraksi,” katanya.
Mengulas mengenai rancangannya selepas ini, Zainal berkata beliau akan berehat seketika sebelum menyambung kursus lesen pro yang sudah lama mahu dimiliki.
“Ini adalah masa yang sesuai untuk saya ambil kursus lesen pro yang sudah lama dalam perancangan.
“Lesen ini amat penting kerana pada masa akan datang semua kena memilikinya,” katanya.
Pada masa sama, Zainal turut berharap agar pemain meneruskan perjuangan demi mengangkat dan mengembalikan prestasi pasukan dalam Liga Malaysia.
“Teruskan perjuangan dan selamat maju jaya kepada semua pemain,” katanya.