Amirul, Kunanlan pula gantung but

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, Johor Southern Tigers petang Rabu.

Amirul, 30, dan Kunanlan, 30, berkata persaraan mereka daripada skuad Harimau Malaya itu adalah bagi memberi fokus kepada kelab yang diwakilinya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menerusi kenyataan itu, Kunanlan menjelaskan bahawa penampilan bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Fiji baru-baru ini adalah penampilan terakhirnya untuk aksi perlawanan antarabangsa.

“Saya cukup berbangga dapat menyarung jersi kebangsaan sejak mewakili pasukan Bawah 23 tahun dan sehingga kini.Terima kasih diucapkan atas segala sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini dan juga tunjuk ajar yang diberikan. Saya amat menghargainya.”

Sementara itu pemain tengah JDT, Amirul Hadi berkata pengundurannya diharap dapat memberi peluang kepada pemain muda yang lain untuk beraksi dalam skuad kebangsaan.

“Assalamualaikum.. Terima kasih kepada penyokong dan semua yang terlibat atas sokongan juga peluang yang diberikan sepanjang penglibatan saya ketika menyertai skuad kebangsaan terutama jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

“Cukup sampai disini sahaja yang mampu saya berikan kepada skuad kebangsaan. Keputusan ini membolehkan saya memberi peluang kepada pemain muda untuk meneruskan misi skuad kebangsaan,” tulisnya. TheRakyatPost.my

Related Articles