Kedua-dua wira negara itu masing-masing menerima insentif berjumlah RM1.05 juta yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian insentif berkenaan di ibu negara, Sabtu malam.
Selain memenangi pingat emas, Abdul Latif dan Muhammad Ziyad turut mencipta rekod baharu kejohanan dan rekod dunia dalam acara masing-masing iaitu Lompat Jauh T20 dan Lontar Peluru kategori F20 yang menyaksikan mereka menerima imbuhan tambahan.
Sementara seorang lagi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik dalam acara 100m T36, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, yang turut mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik, pula menerima insentif berjumlah RM1.02 juta.
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pemenang pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016, menerima RM500,000, manakala beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, juga pemenang pingat perak, masiong-masing RM350,000.
Penerjun wanita negara, Pandelela Riong dan Cheong Jun Hoong, yang merangkul pingat perak dalam acara 10m platform seirama di Rio, masing-masing turut menerima RM350,000.
Pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio 2016, Azizulhasni Awang menerima RM300,000 manakala Siti Noor Radiah Ismail yang menyumbang gangsa dalam acara lompat jauh T20 pasda Sukan Paralimpik, turut menerima RM300,000 dengan insentif tambahan daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Sementara itu, di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR), setiap jurulatih yang membantu atlet meraih pingat turut menerima 30 peratus daripada nilai insentif Shakam yang diterima atlet bimbingan masing-masing.
Jumlah peratusan yang diterima itu adalah tambahan 10 peratus pemberian khas yang diumumkan perdana menteri baru-baru ini dan ia adalah pemberian khas untuk temasya kali ini sahaja.
Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2016 diadakan di bandaraya Rio de Janeiro, Brazil. – Bernama