Zarol atau nama penuhnya, Mohamad Afzarul Dzarif Mohd Mazle, 24, mengaku mengenali Zila sebagai rakan duet menerusi aplikasi nyanyian Smule. Namun, dia tidak pernah berjumpa bekas isteri pelawak itu.
“Saya berani bersumpah bukanlah punca yang menyebabkan perkahwinan Along dan Zila bergolak. Malah, saya sendiri tidak pernah berjumpa dengan Zila kerana kami hanya sekadar rakan duet di Smule.
“Kami berhubung menerusi aplikasi WeChat di mana Zila ‘add’ saya di situ. Ia bagi memudahkan komunikasi untuk berbincang mengenai lagu duet kami di Smule dan tidak lebih daripada itu.
“Sejak awal lagi saya maklum dengan status Zila sebagai isteri Along ketika itu dan bertanya mengenai keizinan suaminya berhubung perkara ini. Saya tidak pernah melanggar sebarang batas kerana menghormati status Zila pada waktu itu,” katanya, memetik laporan BH Online.
Jejaka kelahiran Johor itu menjelaskan, dia ada mendengar namanya dikaitkan sebagai orang ketiga sebelum menjejakkan kaki dalam program AF 2016.
Namun, Zarol mendakwa dia tidak mengetahui sebarang berita mengenai perkara itu sejak menyertai program realiti berkenaan. Terdahulu, nama Zarol turut terpalit apabila tersebarnya gambar Smule Zila bersama seorang lelaki separuh bogel di Facebook.
“Saya berharap jawapan yang diberikan ini dapat menjelaskan keadaan sebenar dan tidak ada lagi pihak yang mengaitkan saya lagi sebagai orang ketiga,” katanya.