Shah Rukh Khan tiada hasrat masuk politik

Raees memaparkan pelakon berusia 51 tahun itu mengusahakan perniagaan minuman keras di Gujarat yang dicabar dan digagalkan oleh seorang pegawai polis, lakonan Nawazuddin Siddiqui.

Apabila ditanya sama ada mahu menyertai politik, seperti wataknya dalam filem berkenaan, Shah Rukh, berkata; beliau lebih suka menjadi pelakon berbanding kerjaya lain, lapor akhbar Hindustan Times.

“Saya berlakon, saya tidak boleh menjadi ahli politik. Saya tidak memahami kerjaya itu atau mahu menceburinya.

“Saya tiada kaitan dengan politik dan tidak mahu ada kaitan dengannya, ” katanya.

Sementara itu, heroin Raees, Mahira Khan, berkata kebimbangannya yang Shah Rukh akan mendapat lebih tumpuan berbanding dirinya, menjadi kenyataan apabila keluarganya sendiri menjerit kegembiraan apabila aktor itu muncul di layar perak.

Aktres kelahiran Pakistan itu berkata: “Saya dan keluarga menonton Raees di sini dan keluarga saya menjerit sebaik Shah Rukh muncul, bukan saya. ” –  Hindustan Times

Related Articles