“Saya tidak kisah dikecam orang, ini penghargaan saya buat isteri” – Shuib tunai impian sanding dengan Sarah

Memetik laporan Utusan Online, majlis persandingan dan resepsi tersebut sekali gus dibuat bersempena dengan sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke enam selepas disatukan pada 26 Februari 2011.

Menurut Shuib, keputusan untuk bersanding tersebut dibuat sebagai menghargai Siti Sarah yang selama ini setia bersamanya dalam keadaan susah dan senang.

“Waktu kami kahwin enam tahun lepas, saya tidak cukup wang untuk majlis kenduri dan bersanding. Yang saya mampu buat hanyalah majlis akad nikah.

“Justeru apabila sudah punya wang sedikit, saya mahu tunaikan janji saya kepada Sarah untuk mengadakan majlis persandingan. Walaupun mungkin agak lewat dan sudah punya tiga anak, tapi ia lebih indah dan sangat bermakna.

“Saya tidak kisah dikecam orang kerana ini penghargaan saya buat isteri. Orang tidak tahu keadaan saya waktu mula-mula berkahwin dengan Sarah.

“Keikhlasannya menerima saya dalam keadaan saya tidak punya apa-apa kerana baru mula bertapak dalam bidang seni sangat saya hargai,” kata Shuib.

Sementara itu, Siti Sarah melahirkan perasaan yang cukup gembira dengan hadiah ulang tahun perkahwinan tersebut dan menyifatkan dia adalah wanita paling bertuah di dunia.

“Bayangkan saya sudah menjadi isteri kepada Shuib selama enam tahun, dikurniakan anak tiga orang dan mendapat suami yang sangat baik daripada pelbagai sudut, jadi tidak ada ayat yang boleh dilafazkan untuk menggambarkan kegembiraan dan kesyukuran ini,” kata Sarah.

Majlis persandingan Shuib dan Siti Sarah akan diadakan di Bora Ombak Marina dengan jemputan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan artis seramai 600 orang.

Related Articles