Search berdepan saman RM1.5 juta

Penganjur Konsert Search 35 Tahun, Afjets Sdn Bhd, memberi tempoh 14 hari kepada kumpulan rock terbabit untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, sekali gus menuntut kos ganti rugi RM1.5 juta.

Selain itu penganjur juga mendakwa Search turut melanggar memorandum persefahaman (MoU) apabila menamatkan kontrak kerjasama secara tidak sah.

Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar, berkata segala tuduhan dilemparkan kumpulan legenda itu terhadap syarikat berkenaan sebelum ini tidak benar.

Pihaknya juga turut menafikan segala tuduhan dibuat Search pada sidang media ketika mereka mengumumkan penamatan kerjasama dengan syarikat itu baru-baru ini.

“Kami juga sudah menuntut Search memohon maaf secara terbuka dan menarik semua tuduhan dibuat mereka terhadap Afjets menerusi notis yang dihantar wakil peguam kami, semalam (2 Jun).

“Jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, notis saman akan menyusul,” kata Amrul pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur, petang tadi.

Hadir sama wakil peguam, Adnan Seman @ Abdullah daripada firma Adnan Shahida & Associates.

Search menerusi sidang media mereka, kira-kira dua minggu lalu, dikatakan membuat kenyataan Afjets sebagai tidak profesional dan tak berkemampuan untuk mengadakan konsert serta gagal mematuhi MoU.

Mengenai proses pemulangan wang kepada peminat yang sudah pun membeli tiket, Amrul berkata, pihak Ticketpro akan menghubungi mereka minggu depan.

Terdahulu, kontroversi timbul apabila pemain dram Search, Yazit Ahmad, membuat laporan polis terhadap kumpulan itu, awal Mei lalu.

Antara lain beliau mendakwa anggota kumpulan berkenaan melakukan pecah amanah. Bagaimanapun, tuduhan Yazit itu dinafikan oleh Search.

Mengikut perancangan asal, Konsert Search 35 tahun sepatutnya diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 9 April lalu, bagaimanapun ia ditunda kepada 30 Ogos depan, dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi lokasi baharu.

Related Articles